Pengundi kaum India khususnya, dikatakan akan mengundi mengikut kaum. Itu salah satu asas PH dengan yakin meletakkan calon kaum itu bertanding di kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah pengundi India yang ramai.

Bagaimanapun, selepas seming­gu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut berlangsung, ramalan seumpama itu boleh dikatakan meleset.

Kebanyakan orang India di Rantau bukan sewenang-wenangnya dipengaruhi sentimen perkauman sempit. Mereka juga melihat kepada beberapa faktor lain yang akan diambil kira semasa memangkah kertas undi pada 13 April ini.

Rata-rata pengundi kaum India yang ditemui penulis mengatakan mereka akan mengundi calon berdasarkan keperibadian, sumbangan dan kualiti kepemimpinan - bukan atas pertimbangan kaum semata-mata.

Mungkin sebab itu ada pihak yang tidak selesa dan panas hati dengan situasi tersebut. Golongan ini cuba mencari modal politik de­ngan membakar sentimen perkauman tersebut menerusi tindakan menggantung kain rentang yang menghina masyarakat India.

Hakikatnya, Rantau mewakili kemajmukan penduduk di negara ini. Orang India, Cina dan Melayu di sini boleh bertegur sapa, minum kopi di kedai yang sama tanpa sebarang masalah.

Suasana di kawasan itu juga te­nang-tenang sahaja selama se­minggu kempen PRK berjalan. Usah timbulkan masalah, beri pengundi peluang memilih pemimpin terbaik. Percayalah, cubaan mengusik sentimen perkauman tidak akan berhasil di Rantau.