Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau yakin parti yang diasaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak akan mendapat kerjasama penuh pakatan pembangkang sedia ada.

“Saya ucapkan ‘selamat berjaya’ kepada mereka berdua dengan penubuhan parti itu. Bagi saya, lebih banyak parti yang bertanding, lebih meriah pilihan raya umum akan datang.

“Seperti yang Muhyiddin katakan, dia tidak menyasarkan ahli UMNO untuk menganggotai parti itu. Maknanya parti itu terdiri daripada mereka yang sememang­nya di luar UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Ladang Satelit di Kampung Semerbok, Kota, di sini hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, PKR juga seolah-olah menjilat ludah mereka semula kerana sanggup bekerjasama dengan Dr. Mahathir yang mereka sifatkan sebagai punca kepada banyak masalah di negara ini.

“Kerjasama antara mereka bertentangan dengan agenda PKR untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya juga tidak fikir Muhyiddin dan Dr. Mahathir bersungguh-sungguh mahu membebaskan beliau,” ujarnya.