Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP turut berkata, pihak pembangkang kini sering mempermainkan isu ekstrem tentang perkauman dan agama namun akan mengubah nada apabila berhadapan dengan golong bukan Melayu dan bukan Islam.

“MCA atau MIC yang cuba menakutkan-takutkan tentang ekstremis kaum dan agama yang membahayakan golongan bukan Melayu dan bukan Islam, sedang bekerjasama secara erat dengan UMNO dan PAS yang mahu mengambil hak-hak orang bukan Melayu dan bukan Islam.

“Apakah PAS, UMNO, MCA, dan MIC percaya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang, begitu mudah diperdaya sehingga akan termakan kebencian etnik dan agama yang sedemikian, untuk mengalihkan tumpuan daripada korupsi pembangkang, mahupun ketidakcekapan pengurusan ekonomi mereka sehingga mereka tidak mampu membayar gaji penjawat-penjawat awam?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan untuk menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa DAP merupakan ‘kingmaker’ dalam Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE