Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, fasa satu program UMNO Bantu Rak­yat ini akan menerjah ke hampir 21 buah lokasi di seluruh negara.

Katanya, bagi program fasa kedua pula, sebanyak 50 lagi lokasi akan dikenal pasti oleh Badan Perhubungan UMNO negeri-ne­geri dan akan menjadikan sebanyak 71 lokasi akan dikunjungi, sekali gus menggambarkan usia parti yang telah memasuki 71 tahun.

“Program tersebut juga merupakan kesinambungan aspirasi parti di samping sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada rakyat.

“Bukan sahaja untuk memastikan kebajikan rakyat terbela, malah ini adalah salah satu bentuk ucapan terima kasih kepada rakyat kerana tanpa mereka maka sudah pasti UMNO tidak mampu berdiri gah seperti sekarang.

“Kami akan memasuki kawasan-kawasan kampung di pe­da­laman tanpa mengira lokasi mereka, malah kami sendiri juga akan mengetuk pintu rumah untuk menyampaikan bantuan,” katanya berucap dalam program UMNO Bantu Rakyat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norhayati Omar dan Ketua Pu­teri UMNO negeri, Zuliana Mohd. Ridzuan.

Lebih 200 orang miskin dan murid sekolah serta masing-ma­sing 100 anak yatim dan ibu tunggal menerima bantuan RM100 setiap seorang.

Murid tahun empat, lima dan enam menerima sumbangan dalam bentuk akaun Tabung Haji manakala murid tahun satu memperoleh akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Para penerima tersebut da­tang dari lapan bahagian UMNO di negeri ini.

Negeri Sembilan adalah destinasi kesembilan yang menjadi persinggahan program anjuran BiKUM itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hasan Malek menjelaskan, parti keramat tersebut tidak sesekali akan mengetepikan hal ehwal kebajikan rakyat.

“Kita akan terus mencari dan membantu rakyat bagi menyampaikan bantuan kepada mereka kerana UMNO adalah parti yang merupakan tunjang kepada rakyat.

“Pelbagai bentuk bantuan akan diberikan termasuklah dari segi makanan, wang tunai, pakaian dan lain-lain lagi bagi memastikan rakyat merasai diri mereka dihargai oleh UMNO,” katanya.