Menurut bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Nap­siah Omar, perkara itu perlu diberi perhatian sekiranya parti mahu terus relevan dan mendapat kepercayaan orang Me­layu pada masa akan datang.

“UMNO adalah tempat bagi kesatuan orang Melayu di negara ini. Hari ini ramai yang telah lupa perkara itu. Kemampuan UMNO dalam melaksanakan tanggungjawab itu akan sentiasa dinilai oleh orang Melayu.

“Oleh itu, UMNO perlu menunjukkan keberanian dan kepintaran dalam perjuangan­ demi bangsa dan agama. Ahli-ahlinya juga perlu menghidupkan parti dan jangan putus asa serta mudah me­nyerah kalah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapannya terhadap parti itu menjelang ulang tahun UMNO ke-71 yang akan disambut pada 11 Mei ini.

Napsiah turut berharap agar anak-anak muda Melayu dapat menyambung perjuangan parti itu yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara.

Menurut beliau, mereka tidak sepatutnya melupakan peranan UMNO dalam membebaskan negara daripada penjajah dan kemudiannya membangunkan Malaysia ke tahap yang ada pada hari ini.