Hal itu dijelaskan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Ahmad Kasim.

Katanya, setakat ini, tiada surat peringatan diberikan kepada Mohamed Azmin.

“Setakat ini, belum ada apa-apa keputusan lagi. Tidak ada surat peringatan dan ia (isu kehadiran) bukan di bawah lembaga disiplin, sebaliknya terletak di bawah setiausaha agung parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat biro politik PKR di Merchant Square, Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Mesyuarat biro politik itu dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap mengenai isu surat tunjuk sebab yang diminta Lembaga Disiplin PKR kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Ahmad berkata, pihaknya telah pun menerima surat berkenaan.

Katanya, PKR berpuas hati dengan penjelasan yang diberi kedua-dua pihak.

“Hari ini, saya bentangkan pada biro politik intipati jawapan yang mereka berikan dan secara umumnya, biro politik menerima penjelasan daripada kedua-dua orang ini.

“Menteri Besar Selangor telah tunjukkan satu sifat yang baik, menghormati kepimpinan dan nyatakan beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ni dan beliau lebih berusaha supaya proses perdamaian dan meredakan pertikaian dalam kepimpinan.

“Begitu juga Farhash Wafa Salvador yang menyesali kenyataannya dan mohon maaf kepada kepemimpinan serta beliau berikrar tidak akan mengulangi kenyataan tersebut dan berazam untuk jaga tatatertib,” ujarnya.

Pada 25 Julai lalu, Lembaga Disiplin PKR menghantar surat kepada Farhash Wafa Salvador, Amirudin dan beberapa pemimpin parti itu berhubung kenyataan kontroversi dibuat mereka berhubung video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.-UTUSAN ONLINE