Pada masa yang sama, bayaran sebulan gaji yang dipanggil Insentif Mahabbah Selangor sempena raya juga diberikan kepada 19,244 penjawat awam negeri dan RM1,000 kepada 739 kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bayaran yang memberi implikasi kewangan sebanyak RM33.84 juta kepada kerajaan negeri itu akan dibuat pada 7 Jun nanti.

"Selain itu, bantuan khas kewangan satu bulan gaji juga akan diberikan kepada kakitangan beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) negeri melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM5.621 juta.

"Sukacita lagi saya mengumumkan suatu bantuan khas kewangan berjumlah RM4.172 juta imam satu dan dua, bilal satu dan dua, siak satu dan dua serta nazir masjid, yang mana setiap mereka menerima RM400 melibatkan 2,053 masjid.

"Manakala bagi petugas surau untuk kategori jawatan sama melibatkan 390 surau akan menerima RM300 seorang," katanya ketika berucap dalam Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE