Kini selepas berkeluarga, penulis menetap di Bandar Seremban Selatan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Rantau.

Kedua-dua anak penulis juga selalu melakukan pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Rantau malah buku rekod kesihatan isteri semasa mengandungkan kedua-duanya juga didaftarkan di klinik tersebut.

Bagi penulis, Rantau tiada apa kurangnya, semua kemudahan mencukupi bagi menampung penduduk di kawasan itu termasuk 20,926 pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka 13 April depan.

Jika kemudahan yang ada tidak mencukupi sekalipun, Rantau tidaklah begitu jauh dari pusat bandar Seremban, semuanya boleh menampung kekurangan yang ada.

Malah sebenarnya, ada beberapa ketikanya, penduduk yang di tinggal di luar Rantau lebih gemar ke pekan ini, kerana pejabat posnya agak lengang dan ikan serta hasil laut yang dijual di pasar juga lebih segar.

Sebab itulah, tiada isu besar dari aspek kemudahan dan infrastruktur di Rantau, semuanya sudah disediakan oleh kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini merupakan calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Rantau kini menjadi tumpuan seluruh negara, semua calon yang bertanding membawa strategi masing-masing bagi menarik sokongan pengundi, termasuklah menjanjikan membawa lebih pembangunan kepada kawasan ini.

Tetapi, penduduk Rantau lebih mengetahui apa yang diperlukan, siapakah calon yang paling layak mewakili serta paling berkesan membawa suara mereka dalam sidang DUN nanti. - UTUSAN ONLINE