SYED MOHD. JOHAN RIZAL
SYED MOHD. JOHAN RIZAL 

Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pemilihan kontraktor dan pembekal adalah dipilih oleh pihak terbabit dan tidak membantu usahawan tempatan Bumiputera.

Kata beliau, menerusi PFI juga biasanya akan mudah melibatkan kronisme yang di luar kawalan kerajaan, sebagai contohnya seperti pembekalan bahan bakar bagi kenderaan dan pesawat.

“Harus diingat, PFI berdasarkan keuntungan pihak swasta dan bukan berorientasikan tanggungjawab awam yang lebih mengutamakan kebajikan dan keharmonian rakyat.

“Malah sehingga kini status syarikat swasta itu juga tidak dimaklumkan kepada umum. Sekiranya dari China di bawah projek One Belt, One Road (OBOR), maka Kedah berpotensi menggadaikan tanah kepada negara tersebut.

“Ini seperti mana berlaku di Sri Lanka, apabila negara itu menggadaikan sejumlah tanah (kepada China) dalam projek pembangunan pelabuhan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali ketika mengadakan lawatan kerja ke negeri ini, mengumumkan tujuh projek bernilai RM3.2 bilion termasuk pembinaan KXP dan Lebuh Raya Koridor Utara yang akan dilaksanakan bagi menarik pelaburan sekali gus menjana pendapatan kerajaan negeri.

Syed Mohd. Johan Rizal seterusnya mengulangi pendirian pergerakan itu bahawa projek mega tidak diperlukan Kedah buat masa ini kerana yang menjadi keutamaan adalah menaik taraf sumber air kepada rakyat.

“Kerajaan negeri perlu membezakan antara kemahuan dan keperluan serta bukannya ‘gila mencari nama’. Tanggungjawab kerajaan yang dipilih adalah bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan menangani kos sara hidup rakyat,” tegasnya.

Beliau berpendapat, bagi merancakkan ekonomi, kerajaan negeri sepatutnya menaik taraf kawasan ekonomi Bukit Kayu Hitam, kerana tidak melibatkan kos besar seperti pembinaan lebuh raya dan bangunan.

“Berikan skim bantuan kepada peniaga kecil atau pun kepada lebih 25 buah industri kecil dan sederhana (IKS). IKS adalah kunci bagi merancakkan ekonomi setempat di Kedah dan mampu mengurangkan kos sara hidup.

“Selain itu meningkatkan sektor pelancongan seperti di tapak warisan Lembah Bujang yang mampu memberi limpahan ekonomi di kawasan sekitar dan membina identiti Kedah seperti mana kerajaan Indonesia membangunkan candi Borobudur sehingga terkenal di seluruh dunia,” katanya. - UTUSAN ONLINE