Naib Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan yang diperoleh beliau merupakan satu amanah dan kepercayaan yang akan dipikul dengan penuh etika, kesungguhan dan rasa tanggungjawab.

“Saya memohon kerjasama semua pihak di dalam dan luar parti untuk memberikan sepenuh sokongan, kerjasama serta mendoakan agar perjalanan dan usaha memulihkan UMNO dan mengembalikan kekuatan serta kredibilitinya akan berjalan de­ngan lancar dan berjaya.

“Ini merupakan satu proses yang berat dan mencabar. Namun, saya yakin, berbekalkan semangat dan dukungan semua pihak, UMNO akan dapat kita pulihkan dengan selayaknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Johor itu berkata, beliau akan memberikan fokus untuk memastikan segala ko­mitmen dan iltizam yang dizahirkan sepanjang kempen pemilihan akan dilaksanakan dengan baik dan sewajarnya.

Mohamed Khaled turut me­rakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan dan bahagian UMNO yang telah memilih beliau sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018-2021.

“Tahniah dan selamat maju jaya juga saya ucapkan kepada semua calon dan rakan-rakan seperjuangan lain yang telah berjaya dipilih untuk mengisi semua kerusi lain di semua peringkat, sama ada di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri.

“Terima kasih juga kepada semua jawatankuasa dan para penggerak mesyuarat bahagian di seluruh negara yang terlibat dalam menjayakan pemilihan pada kali ini.

“Kerja keras, komitmen serta sumbangan kalian pada parti amat bernilai dan sangat saya sanjung dan hargai,” katanya.