Shu Qi berkata, tindakan memuat naik hanya sebahagian daripada penerangan tersebut adalah permainan politik jahat pembangkang bertujuan menfitnah dirinya serta memainkan sentimen perkauman dalam isu tulisan Jawi.

Dalam ucapan tersebut, beliau menerangkan bahawa tulisan Jawi digunakan sebagai sistem tulisan bahasa Melayu secara amnya sebelum tahun 1956 dan telah digunakan untuk menulis pelbagai jenis bahan bacaan dalam bahasa Melayu serta tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja.

"Dalam pembentangan tersebut, saya menggunakan tiga slaid untuk menjelaskan sejarah penggunaan tulisan Jawi antaranya pernah digunakan untuk mengarang kitab agama Kristian pada abad ke-19 dan bahan-bahan bacaan lain yang menggunakan tulisan Jawi termasuk bahan bacaan pornografi.

"Gambar buku-buku pornografi zaman dahulu digunakan dalam slaid sebagai contoh gambaran. Jika tulisan Jawi hanya dikhaskan untuk agama Islam sahaja, maka sekiranya ada ekstrimis Islam yang tahu benda ini, ada kemungkinan mereka akan menghalang penggunaan tulisan Jawi oleh orang bukan Islam kerana bahan sebegini menghina agama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial sebuah klip video berdurasi 22 saat ketika Shu Qi sedang berucap dalam satu sesi dialog bersama-sama Persatuan Tiong Hwa Kluang pada 9 Ogosk lalu. - UTUSAN ONLINE