Mereka membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini hari ini.

Lima individu terbabit ialah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam,

M. Satees; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P.Ramasamy; Bekas duta, Dennis Ignatius dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali berkata, kenyataan lima individu terbabit boleh dianggap berniat jahat apabila menyebarkan fitnah yang tidak berasas di media sosial.

"Kami yakin dakwaan dibuat mereka menyebabkan ramai rakyat Malaysia terpedaya dan keliru terhadap maksud sebenar Dr. Zakir Naik. Ia disengajakan digembar-gembur sebagai modal politik pemimpin DAP dan PKR.

"Kami memohon polis membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah. Sekarang seolah-olah sudah menjadi amalan mereka terutama DAP untuk menguji kesabaran umat Islam di Malaysia," katanya ketika ditemui.

Muhammad Saifullah yang juga Ketua Briged Kesatria Muda Pemuda UMNO Kelantan berkata, pihaknya berharap polis dapat membuat siasatan secara telus tanpa memilih bulu.

"Ini demi memastikan gerakan mencanang isu yang boleh menggugatkan keharmonian kaum dapat diatasi," katanya. - UTUSAN ONLINE