Ketua UMNO bahagiannya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menjelaskan, ahli-ahli parti sebenarnya boleh menyuarakan pandangan mereka dalam persidangan perwakilan bahagian lalu dan diambil kira atas dasar kepentingan parti.

Namun begitu katanya, dalam masa sama, mereka juga perlu menerima dan akur terhadap keputusan majoriti yang berkehendakkan kepimpinan sedia ada dikekalkan.

“Kita amat kesal apabila ada ahli parti boleh berbuat demikian, sepatutnya usul itu dikemukakan dalam persidangan parti. Masalahnya, tidak ada satu usul pun yang diketengahkan mengenai perkara itu dalam persidangan dan diterima ahli sebulat suara.

“Bagi saya, ini jelas membelakangi keputusan kelompok majo- riti yang setia bersama kepimpinan parti, bahkan mencalarkan imej UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Telok Kemang di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan lima cawangan UMNO di bahagian Telok Kemang yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan menggesa Najib meletak jawatan dengan segera bagi mengembalikan sokongan terhadap parti.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohd. Isa juga memberitahu, hanya tujuh pemimpin di peringkat cawangan terlibat dan bukannya 13 cawangan seperti dalam laporan portal sebelum ini.

“Dua pemimpin cawangan dari Kampung Sekawang dan Kampung Bukit Tembok pula tidak tahu-menahu akan perkara itu dan mereka ‘terperangkap’ di situ kerana pada asalnya pertemuan diadakan itu bertujuan untuk perbincangan menjelang pilihan raya akan datang.

“Jadi lima pemimpin ini terdiri daripada Kampung Linggi, Kampung Sua Betong, Taman Selasih, Taman Dato’ Abd. Samad, Taman Intan Duyong,” katanya sambil memaklumkan perkara ini akan dibawa kepada pihak Jawatankuasa Disiplin UMNO untuk diambil tindakan selanjutnya Isnin ini.