Perkara itu menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai kerana Kementerian Pendidikan masih lagi mengekalkan sistem kuota yang lama iaitu 90 peratus untuk pelajar bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera.

Katanya, tindakan mengekalkan sistem kuota yang lama itu langsung tidak membantu perkembangan sistem pendidikan dalam negara sebaliknya akan menyebabkan ramai pelajar bukan bumiputera yang cemerlang terlepas peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Tindakan Kementerian Pendidikan yang menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi juga akan menjadi batu penghalang kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk masuk ke universiti tempatan.

“Di mana 41 pemimpin DAP yang berjuang isu kuota ini? Adakah mereka hanya mendiamkan diri dan menerima sahaja dengan dasar berasaskan kaum selepas menjadi menteri? Saya cadangkan DAP menubuhkan ‘Universiti Roket’ untuk selesaikan isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dominic berpendapat pretasi DAP lebih buruk berbanding sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memandangkan sistem pendidikan ketika ini masih lagi sama tanpa sebarang perubahan.

Katanya, DAP gagal memainkan peranan sebagai kerajaan malahan bertindak seperti pembangkang kerana tidak dapat menghentikan dasar-dasar yang buruk untuk rakyat. - UTUSAN ONLINE