Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Dominic membangkitkan perkara itu serta menekan DAP menyuarakan pemansuhan program terbabit juga disifatkan sebagai perlakuan yang tidak sihat.

Malah menurut beliau, cubaan yang sengaja ditimbulkan sempena ulang tahun peristiwa hitam 13 Mei itu sangat berbahaya kerana boleh membangkitkan suara ekstremis.

Selain itu katanya, ia turut mengingatkan rakyat kepada perarakan kemenangan antara Gerakan dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-3 (PRU-3) yang telah mencetuskan tragedi itu.

“Saya menasihatkan Datuk (Dominic) dan Gerakan untuk berpolitik secara sihat dan matang serta tidak mengapi-apikan semangat perkauman pengundi bukan bumiputera setelah wakilnya (DAP) dalam Kabinet bersetuju dengan pengekalan kuota (kemasukan) ini.

“Jika benar program matrikulasi merupakan amalan diskriminasi kepada pelajar bukan bumiputera seperti didakwa, mengapa tidak sekali pun beliau atau pemimpin Gerakan lain mempertikaikannya sewaktu mereka masih bersama Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dominic dalam kenyataannya kelmarin berkata, PH melalui DAP perlu berani menghapuskan program matrikulasi sebagai permulaan yang adil kepada semua kaum dalam matlamat membina Malaysia baharu.

Mengulas lanjut, Mahdzir mengingatkan Dominic bahawa program matrikulasi dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perizaban tempat pengajian ke universiti awam atau ke mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain.

Kata bekas Menteri Pendidikan itu, sekiranya Dominic dan partinya mahu mendesak kerajaan supaya membuat reformasi dalam bidang pendidikan, mereka juga perlu mendesak kerajaan menjadikan universiti awam percuma seperti yang terkandung dalam manifesto PH.

“Memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya kaedah kemasukan pelajar ke universiti awam bukanlah janji yang terkandung dalam manifesto PH.

“Malah, program matrikulasi juga masih relevan diteruskan kerana agihan kaum ke universiti ketika ini belum tercapai, selain parti Gerakan selaku komponen dalam BN dahulu mendokong kuat dan tidak pernah menentang,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE