ERC dalam kenyataan hari ini berkata, sesi tersebut telah dijalankan di seluruh negara dan Sarawak adalah negeri kedua terakhir yang akan dikunjungi sebelum sesi libat urus di Terengganu.

“Kita mahu mendapat buah fikiran daripada pemegang taruh daripada pelbagai agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai menerusi sesi ini.

“ERC dengan kerjasama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) juga akan mengadakan bengkel libat urus kod etika dan tatalaku pilihan raya di Kuching pada 29 hingga 30 Ogos ini,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, ERC berkata, bengkel yang akan diadakan itu khusus untuk mendapatkan input daripada pelbagai parti politik terhadap definisi kesalahan-kesalahan pilihan raya yang akan digunakan untuk membentuk Kod Etika dan Tatalaku Pilihan Raya.

“Kita mempelawa semua pemegang taruh untuk mengambil bahagian dalam perbincangan yang akan diadakan di Dewan Galeri, Pustaka Negeri Sarawak nanti.

“Pihak yang berminat untuk menyertai program ini bolah menghubungi Penolong Ketua Eksekutif ERC, Khairul Anwar Ahmad Nadzer di talian 0388866365 atau e-mel [email protected] untuk maklumat lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE