Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, yang pa­ling jelas adalah ke­utamaan pemimpin DAP untuk memperjuangkan isu pendidikan Cina seper­ti mendapatkan peng­iktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Begitu juga de­ngan usaha membanyakkan sekolah beraliran Cina seper­ti pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching bahawa Kementerian Pendidikan akan mengkaji cadangan untuk membina 26 lagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Turut menjadi tumpuan besar pemimpin DAP selepas PRU-14 ialah untuk melonjakkan kedudukan sekolah menengah persendirian Cina dan institusi pengajian tinggi swasta Cina dengan memberi mereka dana yang banyak.

“Tidak cukup dengan Nie Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan mengagih-agihkan dana ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga turut melakukan perkara sama dengan menggunakan dana Menteri Kewangan pula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahdzir berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara, Menteri Kewangan sebelum ini fokus kepada usaha memberi dana kepada sekolah menengah persendirian Cina dan institut pengajian tinggi swasta Cina.

Terbaharu di Stadium Merdeka semalam, Guan Eng turut menggunakan dana Menteri Kewangan untuk diberikan kepada SJK (C) Chong Hwa di Setapak, SMJK Chong Hwa di Gombak dan Sekolah Menengah Persendirian Cina Chong Hwa di Jalan Ipoh.

“Maka jelaslah, berdasarkan kepada perlakuan terbaru Guan Eng selaku pemimpin tertinggi DAP ini bahawa parti berdasarkan kaum dan pemimpin mereka masih berfikir dalam kerangka kaum,” katanya.