Kata-kata itu disampaikan dalam nada tegas. Ia dituturkan selepas beliau memberikan bayangan siapa dalang utama di sebalik video seks yang dikaitkan dengan Azmin dan ramai sudah boleh meneka dalang dimaksudkannya. Kata-kata itu memperlihatkan Amirudin bersedia dan tahu apa bakal menantinya.

Terbukti, beliau akhirnya dihadap ke Lembaga Disiplin PKR kerana hal itu. Satu peluang yang ditunggu oleh musuh politiknya dalam PKR. Selain Amirudin, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Khalid Jaafar juga berdepan tindakan sama. 

Persoalannya kini beranikah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Disiplin menghukum Amirudin? Lebih-lebih lagi, sejak dari awal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu bukan pilihannya untuk jawatan Menteri Besar. Anwar mahukan Dr. Idris Ahmad (ADUN Ijok) tetapi istana memilih Amirudin selepas diyakinkan Azmin.

Setakat ini belum jelas bentuk tindakan atau hukuman yang bakal diambil ke atas Amirudin tetapi di Selangor, sudah ada cakap-cakap 'orang Anwar' sedang membuat kira-kira. Berapa ADUN yang masih bersama Amirudin dan Azmin serta berapa pula berpihak kepada Anwar jika ada usaha menukarkan Menteri Besar baharu.

Difahamkan, di atas kertas jumlah ADUN PKR Selangor yang berpihak kepada Amirudin dan bakal Menteri Besar baharu jika benar gerakan itu wujud adalah seimbang, tetapi sokongan ADUN DAP, Amanah dan Bersatu bakal menjadi penentu. Di pihak Dr. Idris pula, keinginannya untuk menjadi Menteri Besar tidak padam - tiada kenyataan mengata dia tidak mahu.

Kini bola dikaki Anwar, apakah selepas kekecohan beliau dengan Azmin terkait dalam isu video seks, Presiden PKR yang cukup yakin beliau akan muncul selaku Perdana Menteri kelapan itu mahu kerusi Menteri Besar Selangor pula bergolak? Pilihan di tangan beliau tetapi di Selangor, restu Sultan sangat penting dan berpengaruh.

Di pihak Amirudin pula, situasinya getir. Memilih untuk menyokong Azmin dan menyerang kem lawan menyebabkan beliau tidak punyai banyak pilihan. Namun, selagi Azmin kekal dalam Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar pula sekadar 'di luar padang', Amirudin dijangka kekal bertahan, melainkan senario sebaliknya berlaku.

Apa pun, sejarah politik Selangor sudah berulang kali membuktikan, kerusi Menteri Besar bagaikan ada badi, kedudukan penyandangnya sentiasa dihempas gelombang politik hingga menyaksikan ramai yang terpelanting sebelum ini dan dalam sejarah PKR sendiri, Anwar sudah melakukannya kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. - UTUSAN ONLINE