Setakat ini, persaingan jelas antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram walaupun Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Berdasarkan pemerhatian sepanjang tempoh berkempen yang semakin rancak dan hangat, anggaplah sahaja dua lagi individu yang menjadi calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yasin sudah tewas lebih awal.

Sebagai pencabar yang mahu merampas kerusi Rantau, Streram mempunyai lebih banyak kelebihan jika pengundi di Rantau memang mengutamakan pembangunan fizikal dalam kawasan mereka.

Berada dalam kem kerajaan iaitu Pusat dan negeri memudahkan Streram membawa segala pembangunan yang diperlukan kawasan Rantau. Sebutlah apa sahaja, tiada yang mustahil kerana beliau kini bersama pihak yang mempunyai kuasa.

Sebaliknya pula bagi Mohamad, pertaruhan beliau dalam pertandingan ini hanyalah jasa dan budi yang telah dicurahkannya selama lebih 14 tahun.

“Saya jarang minta tolong daripada orang, selalu tuan-tuan yang datang minta tolong daripada saya, tapi kali ini saya harap tuan-tuan dapat tolong saya,” katanya secara berseloroh dalam beberapa ceramah yang telah dihadirinya.

Kini terpulang kepada pe­ngundi di Rantau untuk membuat penilaian, lihatlah daripada semua sudut termasuklah calon yang mana yang boleh membawa suara anda dan mudah didekati rakyat.

Tapi ramai yang percaya, orang di Rantau merupakan mereka yang berbudi tinggi, tidak mudah termakan janji.