Selain itu tegas Khairy, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga bertindak demikian kerana beliau memerlukan Anwar supaya tidak memberi keterangan dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 90-an.

“Dulu beliau kata Anwar tak layak jadi Perdana Menteri. Di bawah beliaulah bermula tangkapan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) terhadap Anwar. Beliau sendiri yang usulkan kepada Maj­lis Tertinggi UMNO supaya pecat Anwar sebagai ahli parti dan Timbalan Presiden.

“Fakta itu semua tidak berubah kerana ia sejarah, apa yang berubah adalah pendirian beliau. Ini kerana bagi Dr. Mahathir matlamat politiknya menghalalkan cara. Beliau kini memerlukan An­war yang ketika itu Menteri Kewangan supaya tidak memberi keterangan mengenainya kepada RCI, sekali gus dapat menyelamatkan legasinya dan cita-cita menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di padang Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Kota di sini hari ini.

Lebih 25,000 tetamu terdiri daripada masyarakat daerah ini, pimpinan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan menghadiri majlis berkenaan.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Dr. Mahathir membuat 'pusingan U’ dengan menyokong Anwar kerana panik dengan penubuhan RCI bagi menyiasat kerugian BNM dalam urus niaga mata wang ­asing semasa pentadbirannya.

Dalam perkembangan lain Khai­ry berkata, ahli UMNO perlu bersikap terbuka sekiranya pucuk kepemimpinan parti meletakkan calon yang tidak memegang sebarang jawatan dalam UMNO bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, langkah itu bagi memastikan UMNO dapat mengetengahkan calon yang benar-benar diterima dan disukai pengundi di sesebuah kawasan.

Sebagai contoh katanya, UMNO mungkin meletakkan calon yang terdiri daripada cendekiawan atau bekas atlet popular supaya dapat memberi kejutan dan bersaing di kawasan tertentu.

Justeru, beliau berharap ahli UMNO berjiwa besar dalam me­nerima perubahan tersebut kerana tradisi parti itu selama ini meletakkan calon dalam kalangan pemimpin UMNO.

“Jika kita sebagai wakil rakyat sedia ada diminta memberi laluan kepada calon yang lebih baik dan disukai orang ramai, yang tidak semestinya datang daripada hierarki demi kepentingan parti, kita kena beri laluan.

“Mana-mana wakil rakyat termasuk saya jika diberitahu tidak lagi disukai sebahagian besar pen­gundi kawasan itu, maka kita kena terima hakikat kerana hendak memenangkan parti bukan individu,” katanya.

Dalam masa sama beliau berharap, pucuk pimpinan UMNO memaklumkan lebih awal mu­ka baharu yang mahu dicalonkan di sesebuah kawasan untuk mengelakkan sebarang masalah.