Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilihan calon adalah keputusan pucuk pimpinan dan tiada siapa yang akan tahu lebih awal.

“Ahli UMNO telah berikrar untuk setia pada parti dan patuh kepada pucuk pimpinan. Oleh sebab itu, tidak seharusnya pemilihan calon dijadikan isu.

“Jika ada sabotaj dalam kalangan sesama ahli, ia bukan merugikan individu tetapi parti UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rasah di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, ahli UMNO perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan meletakkan perjuangan parti untuk membela nasib orang Melayu.

Katanya, PRU akan datang adalah penting bagi masa depan bangsa itu, malah menjadi tonggak perjuangan UMNO sejak ditubuhkan.