Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai orang lama dalam parti iaitu sejak penubuhan Keadilan pada 1999, beliau percaya tiada kemelut yang tidak boleh diselesaikan.

Katanya, setiap masalah boleh diredakan jika semua pihak menggunakan platform disediakan di peringkat parti untuk merungkai isu berbangkit dan bukannya membuat kenyataan secara terbuka yang sememangnya tidak membawa penyelesaian.

“Parti menyediakan platform yang cukup untuk semua pimpinan. Berbincang secara terus terang sesuatu perkara, guna mekanisme dalaman parti lebih baik, apa lagi jika melemparkan tuduhan ketika polis masih menjalankan siasatan (berkaitan video seks dikaitkan dengan menteri).

“Sementara kita ambil maklum siasatan polis masih berjalan, kita juga terima kenyataan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) yang dikatakan watak (dalam video) itu sebenarnya bukan (individu yang didakwa).

“Itu cara kita meredakan suhu tinggi dan seseorang ahli sebenarnya tahu parti ada peraturan dan perlembagaan, jadi ahli parti perlu patuh (menyelesaikan isu secara dalaman),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil, di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bersedia berdepan dengan individu yang pernah dikenalinya dalam perjuangannya selama ini.

Tanpa menyatakan siapa individu berkenaan, Mohamed Azmin berkata, namun, kesetiaannya ada batasan.

Dalam pada itu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari turut memberi bayangan seolah-olah beliau tahu siapa dalang kepada penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Dalam ucapannya pada majlis doa selamat dan kesyukuran terhadap Mohamed Azmin di kediaman rasminya semalam, Amirudin memberi bayangan bahawa dalang tersebut adalah mereka yang pernah melalui zaman pahit ketika isu skandal serupa timbul 20 tahun dahulu. - UTUSAN ONLINE.