Tambah panas apabila sebuah portal Singapura melaporkan ini penggal terakhir beliau sebagai Ahli Parlimen gara-gara kecewa dengan proses reformasi yang perlahan oleh kerajaan ketika ini.

Bagi pengikut Pakatan Harapan (PH) yang tidak memahami struktur Parlimen dan kepentingannya kepada integriti perbelanjaan hasil negara, maka siapa pun jadi Pengerusi PAC bukan soal penting bagi mereka. Yang penting tiada lagi BN.

Namun selaku 'Puteri Reformasi', Nurul Izzah memberi isyarat jelas. Ini soal akauntabiliti kepada kewangan negara dan melantik Pengerusi PAC bukan dalam kalangan Ahli Parlimen parti pemerintah sudah lama terkandung dalam manifesto PKR.

Ini berbalik kepada sejarah PAC lebih 150 tahun lalu yang bermula di Parlimen United Kingdom (UK) sekitar 1850-an menerusi gagasan Sir Francis Baring. Selepas hampir empat tahun, akhirnya jawatankuasa ini dibentuk dan dipengerusikan beliau.

Sedekad kemudian, pembentukannya jelas diakui sebagai satu pembaharuan kepada aspek pengawasan perbelanjaan hasil negara dan peranan PAC yang sentiasa dimantapkan dari semasa ke semasa terus kekal penting hingga hari ini.

Antara pembaharuan utama pada peringkat awal adalah memastikan individu yang dilantik mempengerusikan PAC adalah Ahli Parlimen pembangkang. Lazimnya daripada bekas menteri kanan.

Di UK, tradisi ini sudah bertapak sejak 1870, namun Malaysia yang baru kali pertama melaksanakannya selepas 9 Mei nampaknya hanya seketika apabila Pengerusi PAC, Datuk Ronald Kiandee menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bulan ini.

Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kedudukan Ahli Parlimen Beluran dalam PAC kekal sebagai pengerusi dan keterujaan ramai untuk melihat wajah baharu PAC di bawah Malaysia baharu seakan lebur bersamanya.

Dalam sistem Westminster, PAC adalah jawatankuasa terpenting, hierarki teratas sehinggakan dalam penerbitan khas sempena sambutan ulang tahun ke-150 PAC Parlimen UK, tajuk digunakan “Holding Government to Account - 150 years of the Committee of Public Accounts”.

Begitulah pentingnya PAC. Cuma persoalan, kenapa hanya Nurul Izzah bersama seorang dua lagi pemimpin PH yang lantang menyuarakan rasa kurang senang. Apakah beliau sahaja komited kepada agenda reformasi kepada Parlimen dan institusi penting negara?

Jangan hanya sekadar pandai menulis surat seperti ketika Nurul Izzah melepaskan jawatan parti, sebaliknya harus komited bersama agenda beliau untuk memberi lebih makna kepada Malaysia baharu yang kini didakwa masih perlahan. -UTUSAN ONLINE