Titah ucapan diraja kali ini adalah pertama buat Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Titah diraja juga menjadi amalan di Britain sempena mesyua­rat pertama setiap penggal yang secara umum berkenaan pembentangan hala tuju dasar kerajaan semasa yang kemudian akan dibahaskan.

Justeru, dalam sesi Parlimen lalu ada wakil pembangkang ketika itu dilihat berbahas sehingga menimbulkan anggapan seperti mempersoalkan isi kandungan titah diraja kerana merasakan ada dasar-dasar kerajaan yang tidak dipersetujui mereka.

Hal ini ada perdebatan me­ngenainya, setuju dan tidak bersetuju. Masing-masing mengemukakan hujah. Apa pun, perkara ini perlu ditangani dengan cermat. Tidak salah melontarkan idea kerana itu tujuan berbahas tetapi harus memelihara tradisi di Malaysia.

“Yang penting setiap yang berbahas kena memahami apa yang digariskan dalam titah diraja dan ini perlu sealiran dalam apa juga yang dibahaskan kelak,” kata Dr. Sham Ra­hayu Abdul Aziz ketika ditemui di bangunan Parlimen.

Ada pelbagai perkara yang disentuh dalam titah Yang di-Pertuan Agong semalam antaranya soal kos sara hidup, kejatuhan harga komoditi, hubungan luar, pendidikan dan inisiatif golongan B40 selain penegasan kepada perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan soal agama Islam dan bahasa.

Paling jadi perhatian dan pastinya bakal disentuh ramai ahli Parlimen ialah ruang media sosial yang terus disalah guna sehingga menyentuh sensitiviti agama dan kaum seperti isu menghina nabi dan perjuangan fahaman liberal.

Bagi pakar undang-undang perlembagaan itu, dalam menangani penyalahgunaan me­­dia sosial dan kebebasan bersuara, ahli Parlimen perlu berbahas selari dengan titah diraja iaitu kebebasan itu harus berlandaskan undang-undang dan tidak melanggar norma masyarakat.

“Ini mereka tidak boleh lari, jangan pula rasa sebaliknya,” katanya.

Maka, biar pun yang dulu kerajaan jadi pembangkang dan sebaliknya, maka semua harus tahu.

Jangan ada menyimpang daripada kerangka ini. Berilah apa sahaja idea mahu pun teguran kepada menteri agar apa dititahkan Seri Paduka untuk kebaikan rakyat tercapai.