Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan itu berulang kali memberitahu jumlah RM19.4 bilion merupakan jumlah yang amat besar yang sepatutnya dibayar balik sungguhpun sudah me­lebihi dua tahun.

Keadaan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati pembangkang terutamanya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang sebelum itu menerusi soalan tambahannya menuntut penjelasan Guan Eng berhubung tuduhannya sebelum ini.

“Mengikut kajian daripada kita ia tidak dirompak, duit itu tidak dibawa ke mana-mana kecuali digunakan oleh kerajaan mungkin untuk tujuan yang lain, mohon Yang Berhormat jelaskan,” katanya sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, jumlah RM19.4 bi­lion hutang bayaran balik GST itu merupakan jumlah yang tidak dipulangkan selama lebih dua tahun dengan Petronas serta anak-anak syarikatnya sahaja dihutang sebanyak RM4.2 bilion.

Jawapan oleh Guan Eng itu menimbulkan rasa tidak senang Tajuddin dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain yang menganggap Guan Eng tidak menjawab persoalan.

“Saya bertanya RM19 bi­lion itu sama ada dirompak itu adakah betul, kita tiada masa. Yang Berhormat tak menjawab soalan saya.

“RM19.4 bilion, tuduhan merompak serius, kalau dalam Islam dosa besar, tuduh orang. Saya nasihatkan Yang Berhormat supaya jadi pemimpin yang baik... jangan tuduh sebarangan, malu seluruh dunia mendengar,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang dilihat seperti tertekan dengan asakan wakil rakyat pembangkang kemudian de­ngan sinis memberitahu akan menjadi pemimpin yang baik dengan bercakap benar.

“Saya setuju akan jadi pe­mimpin yang baik seperti disarankan Yang Berhormat dengan bercakap benar. Sememangnya wang ini yang sepatutnya dibayar balik tetapi tidak dibayar balik, sungguhpun (sudah) lebih dua tahun,” jelasnya.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Tajuddin berhubung jumlah tuntutan balik GST yang masih belum dapat dijelaskan pembayarannya oleh kerajaan, Guan Eng memberitahu, jumlah tersebut melibatkan sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018 adalah yang melibatkan lebih 120,000 pendaftar cukai.

“Pada Ogos 2018, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menetapkan RM19.4 bi­lion itu sebagai amaun yang telah melalui pelbagai proses tapisan dan siasatan dalaman untuk pembayaran balik.

“Hanya kerana wang yang tidak mencukupi dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST yang menyebabkan jumlah ini tidak dilulus dan dipamerkan dalam laman web JKDM agar langkah terakhir pembayaran tidak dilaksanakan,” katanya.

Jelas Guan Eng lagi, sekiranya ada wang tentu akan dilulus dan dipamerkan seterusnya ada tanggungjawab dalam perundangan untuk membuat pembayaran balik.

“Hingga 4 Mac 2019, tuntutan pembayaran balik GST yang masih belum selesai adalah sebanyak RM22.145 bilion yang melibatkan 298,457 penyata 168,839 pendaftar cukai,” katanya.