Senang cakap, tak boleh bohong di Dewan Rakyat walaupun Ahli Parlimen menikmati imuniti iaitu bebas daripada sebarang tindakan undang-undang walau apa pun mereka cakap.

Mengelirukan dewan memang perlu disekat, selain tidak mencerminkan seorang Ahli Parlimen, ia juga antara penyebab suhu perbahasan mendidih tiba-tiba, maklumlah apabila de­ngar lawan berhujah dengan fakta 
yang terpesong.

Minggu lalu misalnya, berlaku pertikaman lidah antara Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan RSN Rayer (DAP-Jelutong) gara-gara kemudahan di Pos Senderut Cameron Highlands.

Rayer kata tak ada apa-apa infrastruktur tetapi Ahmad pertahan kerajaan BN sebelum ini sudah bina sekolah dan kemudahan asas lain di perkampungan tersebut. Bagi mengukuhkan hujah­nya, dimuat naik gambar SK Pos Senderut dalam Twitter.

Malah apabila terjerat ketika berbahas macam-macam ilmu dicuba, ada Ahli Parlimen walaupun seorang peguam pernah kata kes jenayah ada tempoh masa untuk tindakan sedangkan semua tahu jenayah bukan seperti sivil.

Siapa salah siapa be­tul biar­­lah fakta menjawab. Te­tapi apa kesu­dahannya atas mereka yang 
me­nge­lirukan dewan kerana kesannya besar memandang Parlimen adalah institusi mulia.

Dan, semalam berbangkit di Dewan Rakyat mengenai pertikaian perangkaan pelaburan langsung asing (FDI) selain RM19.4 bilion wang tuntutan balik GST yang disebut sebagai ‘dirompak’ tetapi kini istilah itu tidak lagi disebut.

Bagi Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), perkataan rompak telah mengelirukan dewan. Respons Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof, tenang. Setiap Ahli Parlimen boleh menulis surat bantahan mereka untuk diteliti satu persatu bagi dipertimbangkan.

Katanya, ada bantahan yang terjumlah mengelirukan dewan tetapi ada yang tidak. Keterbukaan ini amat dialu-alukan kerana dalam memainkan peranan semak dan imbang, hujah dalam dewan harus berteraskan ketepatan sekali gus perbahasan bukan sahaja tertib, bahkan menepati kelas dunia.