Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, ini mampu dicapai menerusi amalan pelaburan yang lebih berhemah disokong pula dengan langkah penambahbaikan tadbir urus serta kawal selia lembaga berkenaan ketika ini.

“Setelah pelan penstrukturan dan pemulihan Tabung Haji berjaya dilaksanakan pada akhir tahun Iepas, Tabung Haji kini telah kembali kepada kedudukan kewangan yang kukuh. Ini dapat dilihat menerusi prestasi kewangan suku pertama Januari sehingga Mac lalu yang mampan.

“Oleh itu kita mengharapkan serta yakin bahawa prestasi Tabung Haji lebih baik dan mampu membayar hibah yang lebih tinggi berbanding 1.25 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Bantuan Ramadan dan Raya Tabung Haji - Lembaga Zakat Selangor (LZS) 2019 di sini hari ini.

Pada hujung suku pertama, jumlah lebihan aset berbanding liabiliti yang dimiliki Tabung Haji telah meningkat kepada RM1.2 bilion.

Lembaga itu juga berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta bagi tiga bulan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menambah, Tabung Haji akan menyediakan khemah dilengkapi pendingin hawa di Arafah serta sajian hidangan sedia di makan bercitarasa tempatan kepada jemaah-jemaah muassasahnya bermula tahun ini.

Jelasnya, setakat tahun lalu, khemah-khemah jemaah haji hanya dilengkapi dengan penyejuk udara (air cooler).

“Tahun ini memandangkan kemuncak cuaca panas akan melanda, kita buat pertama kali akan mula memasang pendingin hawa di khemah-khemah kita. Ini bagi memastikan keselesaan jemaah-jemaah.

“Semua kos ditanggung oleh Tabung Haji dan para jemaah tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan,” katanya.

Ditanya sama ada prestasi kewangan yang baik itu dapat membolehkan pemberian subsidi haji yang lebih tinggi, Zukri berkata, perkara itu bergantung kepada prestasi lembaga tersebut.

“Pada musim haji tahun ini, Tabung Haji menanggung subsidi sebanyak RM12,920 bagi seorang jemaah, dengan jangkaan keseluruhan subsidi berjumlah RM400 juta.

“Jika kos mengerjakan haji tahun depan meningkat dan kita masih mengekalkan bayaran RM9,980 oleh jemaah, maka kos yang ditanggung Tabung Haji akan meningkat. Sama ada boleh (menambah subsidi), ia bergantung kepada prestasi kewangan kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE