Kenderaan bergerak perlahan sejak pukul 1 petang bermula dari Machang sehingga ke persimpangan lampu isyarat Guchil.

Aliran trafik bagaimanapun lancar selepas Kampung Pahi, Kuala Krai sehingga berterusan ke Gua Musang.

Pemandu, Muhammad Shah Hakimi, 50, berkata, dia memilih untuk pulang lebih awal ke ibu kota kerana mula bekerja pada hari esok.

"Kesesakan ini sudah dijangka tetapi tidaklah seteruk dihadapi jika saya memilih pulang pada hujung minggu ini," katanya yang bertolak dari Pasir Mas pada pukul 2 petang tadi.

Bagi Ahmad Zaki Hasan, 32, berbanding cuti Hari Raya Aidilfitri, kesesakan lalu lintas dijangka lebih teruk pada Aidiladha yang kebetulan jatuh pada cuti persekolahan.

"Saya dan isteri mahu pulang pada Jumaat ini namun menukar rancangan untuk bergerak lebih awal kerana enggan terperangkap dalam kesesakan," ujarnya.

Kesesakan lalu lintas laluan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang seterusnya Kuala Lipis-Raub sehingga Bentong-Kuala Lumpur dijangka bertambah teruk pada hujung minggu ini.-UTUSAN ONLINE