Tidak mahu ketinggalan, seorang wanita Pakistan, Nasim Akhtar, 63, menghabiskan masa kira-kira 32 tahun menulis dan menyulam al-Quran 30 juzuk menggunakan tangan.

”Nasim yang berasal dari wilayah Punjab memulakan proses menulis dan menyulam al-Quran itu pada Ogos 1987 ketika berusia 30 tahun dan berjaya menyiapkannya pada Januari 2018,” kata Pegawai Penerangan Pusat Pameran Al-Quran Al-Karim di Madinah, Ahmad Zaki Amin.

Beliau berkata, Nasim menghadiahkan hasil kerjanya itu kepada pusat berkenaan pada 21 September tahun lalu untuk dipamer kepada orang ramai.

“Wanita ini (Nasim) mengambil masa 15 tahun pertama untuk menulis ayat al-Quran di atas kain menggunakan dakwat sebelum menyulamnya selama 17 tahun berikutnya.

”Al-Quran ini mempunyai sepuluh jilid dengan anggaran berat 55 kilogram serta mengandungi tiga juzuk setiap jilid,” katanya.

Zaki berkata, proses sulaman al-Quran itu membabitkan kira-kira 300 meter kain dan 25,000 meter benang.

Beliau berkata, Nasim hanya akan melakukan proses itu ketika suci daripada haid dan pada waktu sepertiga malam terakhir.

Mereka yang menziarahi Kota Madinah berpeluang melihat sendiri sulaman Nasim di Pusat Pameran Al-Quran Al-Karim yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi.

Ia beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Pameran itu turut menampilkan pelbagai sejarah penulisan al-Quran dan usaha kerajaan Arab Saudi dalam menjaga kesucian serta keagungan kitab tersebut. - BERNAMA