Selepas muncul juara dalam pertandingan perarakan pancaragam bagi kategori terbuka dan keseluruhan sempena Pertandingan Pancaragam Peringkat Kebangsaan (NATCOMP) dan Antarabangsa (MWBC) 2019 di Dataran Aman dan Juara keseluruhan MWBC 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim Shah bulan lalu, pasukan itu ternyata enggan terlalu selesa dengan kejayaan merangkul kejuaraan yang diimpikan setiap pasukan pancaragam itu.

Sebaliknya setiap ahli terus bersemangat untuk menimba ilmu, mengutip pengalaman serta mencabar diri dengan menyertai Pertandingan Pancaragam Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYMBC) 2019 yang diadakan hanya selepas dua minggu NATCOMP dan MWBC berakhir.

Ternyata kerja keras, penat lelah setiap ahli, barisan guru serta jurulatih berbaloi apabila pasukan itu dinobatkan sebagai juara KLIYMBC 2019 sekali gus mengekalkan kejayaan tiga tahun berturut-turut bermula 2017.

Stadium Hoki di Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu sekali lagi digegarkan dengan sorakan kumpulan sokongan ibu bapa yang dilihat sebagai ‘secret ingredient’ dalam menyuntik semangat setiap ahli.

Kemenangan itu membolehkan VICCB membawa piala pusingan, piala juara, sijil dan wang tunai RM4,000.

Lebih membanggakan pasukan itu turut membolot tiga anugerah iaitu Best Hornline, Best Percussion dan Best Field Commander.

Guru Penasihat VICCB, Hasnani Abdul Samad berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian VICCB pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya serta yakin

pasukan itu mampu lebih cemerlang dengan pengalaman, penambahan ahli serta kerjasama semua pihak.

“Aktiviti ini sebenarnya merupakan tunjang dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.

“Di Malaysia perlu lebih banyak aktiviti yang membawa pelajar sekolah dengan kebolehan ini. Hari ini semakin kurang bilangan pasukan pancaragam. Sepatutnya lebih banyak pasukan pancaragam sekolah diwujudkan untuk menyertai pertandingan dan pasukan sedia ada perlu kekal bagi mewujudkan persaingan yang sihat,” katanya. - UTUSAN ONLINE