Dr. Mahathir yang merupakan Penaung dan Pengasas forum itu dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Bosnia Bank International (BBI) atas kejayaan penganjuran kali ke-10 SBF.

Kata beliau, SBF kini semakin signifikan dalam fungsinya mempertemukan entiti perniagaan dari seluruh wilayah Eropah Tenggara seterusnya memajukan sektor perniagaan dan perdagangan di rantau itu.

“SBF kini menjadi platform berdaya maju yang menyatukan rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mengambil kesempatan menyampaikan pesan kepada semua peserta SBF terutamanya dari Malaysia supaya meneroka peluang pasaran yang luas di rantau Eropah Tenggara.

“Saya menggalakkan anda semua untuk meneroka semua peluang yang ditawarkan rantau ini.

“Banyak potensi yang berbaloi untuk dikejar,” katanya.

Terdahulu, pengerusi majlis memperkenalkan Dr. Mahathir sebagai ‘sekutu rapat’ Bosnia dan Herzegovina yang banyak membantu pemulihan negara itu pascaperang pada sekitar pertengahan tahun 1990-an.

Selain membacakan profil Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat untuk Malaysia dan ketokohannya dalam bidang keilmuan melalui penghasilan karya penting seperti Dilema Melayu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut disifatkan sebagai ‘pencipta keajaiban’ melalui kejayaannya mengemudi kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada umur 93 tahun. - UTUSAN ONLINE