Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, blok pembangkang juga akan membangkitkan isu tambak laut itu secara khusus dan menyatakan pendirian menolak projek berkenaan dalam sidang Parlimen akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pembangkang juga akan menggunakan semua saluran media sosial untuk membangkitkan kesedaran orang ramai berhubung kesan dan risiko daripada projek itu khususnya kepada nelayan dan ekosistem laut negeri ini.

“Sudah tentu rancangan tambak laut ini akan menjejaskan mata pencarian lebih 4,000 nelayan di negeri ini dan saya menentang cadangan ini.

“Saya berharap kerajaan mengkaji semula cadangan ini sebab kesannya terlalu buruk kepada kehidupan para nelayan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika bertemu nelayan dan meninjau tapak cadangan projek tambak laut itu di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, di sini hari ini.

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najid Tun Abdul Razak mendengar penerangan daripada beberapa nelayanAHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mendengar penerangan daripada beberapa nelayan pantai mengenai cadangan oleh kerajaan negeri ingin menambak laut untuk dijadikan tiga buah pulau yang pasti akan menjejaskan pendapatang mereka semasa melawat tapak tersebut di Sungai Batu dekat Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN ONLINE

Dalam pada itu, Najib berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak pernah bersetuju atau meluluskan projek tambak laut tersebut meskipun cadangan berkenaan pernah dibangkitkan ketika BN berkuasa.

Malah, katanya, kerajaan BN juga meletakkan kepentingan para nelayan sebagai keutamaan seperti dalam pemberian elaun sara hidup RM300 sebelum dipotong kepada RM200 oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Mohamad Ismail Ahmad berkata, pihaknya berharap usaha Najib membawa isu tambak laut tersebut ke Parlimen kelak akan memberi pembelaan sewajarnya kepada para nelayan negeri ini.

Ujarnya, para nelayan khususnya di Teluk Kumbar yang terjejas dengan projek itu tetap dengan pendirian menolak tambak laut sekali pun Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan dari segi saiz dan skala projek berkenaan.

“Projek ini langsung tidak memberi manfaat kepada nelayan kerana bakal menyebabkan mata pencarian dan masa depan kami musnah.

“Kawasan laut di negeri ini juga akan terjejas dengan lumpur akibat kerja-kerja mengorek dan memindahkan pasir kelak dan akibatnya sumber laut seperti ikan, udang dan ketam yang kaya di negeri ini akan terhapus,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu di Permatang Damar Laut di sini bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.

Mengikut perancangan, pulau buatan itu akan dijual bagi mendapatkan modal untuk melaksanakan komponen projek di bawah PIP yang bernilai RM46 bilion. - UTUSAN ONLINE