Armada sempena sambutan Hari TLDM Ke-85 di Tambatan Pangkalan Lumut di Pangkalan TLDM Lumut di sini yang bermula hari ini.

Sambutan kali ini lebih istimewa apabila buat pertama kali pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu F/A-18D Hornet turut melakukan demonstrasi ketenteraan yang dinamakan 'flypast’.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli berkata, demonstrasi pada kali ini berbeza daripada sebelum ini.

"Sebelum ini demonstrasi banyak di lautan dan kali ini kita memberi lebih tumpuan kepada operasi membabitkan Pasukan Khas Laut (Paskal) dan untuk pertama kalinya juga kita menampilkan jet pejuang TUDM yang memberikan kelainan pada hari terbuka kali ini.

"Pengunjung dilihat begitu teruja dengan demonstrasi yang dijalankan. Setakat pukul 10 pagi tadi kira-kira 3,500 pengunjung hadir memeriahkan hari terbuka dan dijangka angka itu akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka Armada di sini hari ini.

Katanya, demonstrasi itu juga menunjukkan keupayaan dan kesiapsagaan anggota dan aset TLDM dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutama pasukan Paskal yang sentiasa bersedia bukan saja di laut malah di darat.

"Orang ramai dialu-alukan datang hari terbuka armada dan mengambil peluang ini untuk menyaksikan sendiri acara yang dijalankan," katanya.

Menurut Rusli berkata, pelbagai acara akan dilangsungkan sepanjang dua hari program tersebut antaranya lawatan kapal dan aset TLDM, promosi kerjaya TLDM, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta perkhidmatan pemeriksaan gigi dan kesihatan yang dibuka kepada orang ramai.

Katanya, pasukan pancaragam TLDM dan Kawad Senyap juga akan membuat persembahan pada sebelah petang kedua-dua hari terbuka.

"Di samping gerai pameran, terdapat kira-kira 40 buah gerai jualan makanan dan minuman selain perkhidmatan food truck juga disediakan," katanya. - UTUSAN ONLINE