Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, ini kerana tulisan dan seni khat jawi telah diperakui di peringkat antarabangsa.

Katanya, pendirian Kementerian Pendidikan ingin memasukkan seni tulisan itu ke dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Tahun Empat adalah tindakan tepat bagi memelihara serta memperkasakan seni tulisan tersebut.

Jelasnya, GPMS juga melihat pendirian itu sebagai satu nilai tambah kepada para pelajar dalam mempelajari subjek Bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu bukan hanya dilihat sebagai bahasa pengantar semata-mata, malah sebagai khazanah dan warisan yang mempunyai nilai yang tersendiri apatah lagi Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan yang sepatutnya dibanggakan.

“Tindakan pihak Dong Zong dan Jiao Zong ini adalah tidak patriotik tambahan pula kita hari ini berada di dalam bulan kemerdekaan dan bakal menyambut Hari Kebangsaaan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Namun jelas Mohd. Alif, menurut Kamus Dewan edisi keempat, jawi merupakan tulisan yang merangkumi huruf-huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam Bahasa Melayu.

“Hal ini bertentangan dengan hujah Dong Zong yang menyebut bahawa tiada kaitan antara tulisan jawi dan Bahasa Melayu,” katanya.

Tegas beliau, GPMS sedia membantu kempen untuk memperkasakan tulisan jawi sekaligus membantu para murid dan pelajar dalam memahami tulisan tersebut.-UTUSAN ONLINE