Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan memaklumkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Hannah Yeoh telah pun banyak kali mengadakan sesi perjumpaan berkenaan.

“Malah Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) sentiasa melaksanakan program-program pemerkasaan dan penyampaian perkhidmatan serta maklumat kepada OKU.

“Ia termasuklah Disability Equality Training (DET), menggiatkan lagi usaha pendaftaran OKU di peringkat negeri dan daerah, perkhidmatan Job Coach, mewujudkan sub-kategori bagi Kad OKU Pembelajaran dan Program Independent Living,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, fokus Kementerian buat masa ini adalah untuk memastikan penglibatan sekurang-kurangnya satu peratus OKU dalam bidang pekerjaan dicapai iaitu satu perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.

Mengulas mengenai memorandum diserahkan oleh beberapa aktivis OKU semalam, kementerian menjelaskan pihaknya sentiasa terbuka dan menyambut baik sebarang cadangan mana-mana pihak demi penambahbaikan golongan itu.

Kata kementerian lagi, memorandum yang diserahkan tersebut kini sedang diteliti oleh pihaknya.

“Kementerian ini mempunyai kumpulan sasar merangkumi hampir kesemua populasi yang sebahagiannya turut diwakili oleh NGO-NGO.

“Perkara-perkara berbangkit berkaitan kumpulan sasar ini dibincangkan dalam mesyuarat majlis yang dipengerusikan oleh Dr. Wan Azizah selaku merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dalam hal ini, perkara-perkara berkaitan OKU dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU) yang bersidang dua kali setahun,” kata kenyataan sama.

Semalam, sekumpulan OKU berhimpun di depan bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi meluahkan rasa kecewa mereka terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mereka tidak prihatin dengan golongan tersebut. - UTUSAN ONLINE