Katanya, cadangan untuk menukar nama KLIA yang sudah dikenali umum itu dilihat tidak bersesuaian dengan imej Malaysia di mata dunia.

Bagaimanapun katanya, beliau menghormati cadangan pihak yang ingin menukar nama tersebut atas faktor geografi dan lokasi lapangan terbang itu terletak di Sepang.

“Imej Malaysia selama ini lebih sinonim dan terkenal dengan bandar utama atau ibu negara iaitu Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.

“Tetapi secara logiknya, perkara pertama yang akan terlintas dalam fikiran pelancong yang datang ke negara ini adalah ibu negaranya iaitu Kuala Lumpur.

“Mesti mereka akan sebut Kuala Lumpur dahulu berbanding Sepang kerana Sepang hanya sebuah daerah di Selangor berbanding Kuala Lumpur yang lebih gah sebagai ibu negara. Saya lihat tidak sesuai jika nak tukar nama (KLIA) yang sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra dan dialog di Beseri di sini malam tadi.

Soal penjenamaan semula lapangan terbang itu timbul susulan tersebarnya satu surat di media sosial yang menyatakan cadangan tersebut telah dipersetujui dan disahkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor, Oktober tahun lalu.

Dalam surat itu, penjenamaan semula KLIA itu dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Teng Chang Kim atas faktor untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang. - UTUSAN ONLINE