Baginda yang berusia 45 tahun diijabkabulkan dengan gadis berusia 33 yang merupakan warga Sweden itu dalam istiadat pernikahan tertutup dan sederhana dihadiri kaum kerabat terdekat.

Mereka dinikahkan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad pada pukul 8.35 malam manakala khutbah nikah dibacakan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Terdahulu, Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang menaiki kenderaan berasingan dengan pengantin perempuan tiba serentak pada pukul 8.20 malam.

Bonda baginda, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pula tiba pada pukul 8.30 malam.

Tengku Mahkota Kelantan diputerakan pada 20 Januari 1974 di Istana Kota Lama, di sini.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail Petra II.

Seterusnya putera kedua daripada empat beradik itu menyambung pengajian peringkat seterusnya di Oakham School, London dan London School of Economics and Political Science, United Kingdom. - UTUSAN ONLINE