Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Kementerian Pendidikan menjelaskan, perkara itu berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi.

Menurut kementerian, dasar pengambilan program matrikulasi masih mengekalkan 90 peratus tempat kepada bumiputera dan 10 peratus tempat kepada bukan bumiputera berdasarkan meritokrasi.

Tambahnya, kiraan merit berdasarkan kepada empat mata pelajaran mengikut bidang yang dimohon, berpandukan bidang-bidang yang ada dalam program iaitu Sains, Perakaunan dan Kejuruteraan.

“Jika seseorang pelajar mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia, pengiraan merit hanya tertakluk kepada empat subjek tertentu sahaja.”

"Dalam masa sama, dasar sedia ada pengambilan pelajar ke program itu ditentukan melalui 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum," menurut kementerian itu.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy sebelum ini dilaporkan membangkitkan isu mengenai pelajar bukan Melayu tidak mendapat tempat.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan menambah, dasar pengambilan program matrikulasi bagi 2019 juga memperuntukkan 60 peratus tempat kepada golongan berpendapatan rendah (B40), selaras dengan hasrat memperkasa golongan itu.

Dalam pada itu, jelasnya, 40 peratus tempat diperuntukkan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20).

“Pelaksanaan dasar baru ini lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak, dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar," katanya. - UTUSAN ONLINE