Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, tindakan itu perlu diambil sehingga aduan pembeli yang berasa tertipu dengan tindakan pemaju berkenaan diselesaikan terlebih dahulu.

Menurut beliau, kes pembeli yang ditekan pemaju untuk membayar harga rumah kos sederhana rendah jauh lebih mahal disebabkan perlu mengambil pakej tertentu tidak sepatutnya berlaku memandangkan tawaran memiliki rumah tersebut dikeluarkan kerajaan negeri.

Malah, katanya, kerajaan negeri perlu melihat kemungkinan pemaju berkenaan secara tidak langsung telah melanggar syarat penting dalam kelulusan pelan merancang berkait isu penetapan harga jualan unit kos sederhana rendah berkenaan sekali gus boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Isu sebegini hanya akan menambah masalah kepada golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah kos sederhana rendah disebabkan harga yang ditentukan pemaju hampir sama dengan unit rumah mampu milik.

“Pada akhirnya, ada pembeli terpaksa menolaknya kerana tidak mampu sedangkan mereka asalnya merupakan pemohon yang layak mendapatkan rumah kos sederhana rendah,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Semalam, lebih 50 penduduk sebuah projek rumah kos sederhana rendah di Tanjung Tokong di sini melahirkan rasa kecewa selepas mendakwa tertipu dengan tawaran memiliki rumah itu pada harga RM72,500 sebaliknya ada yang perlu membayar sehingga RM180,000.

Keadaan itu berlaku selepas mereka mendakwa pemaju meletakkan syarat supaya mereka mengambil pakej seperti tempat letak kereta dan ubah suai rumah namun pada harga berlainan kepada pembeli berbeza.

Dalam pada itu, Rahmad turut melahirkan rasa bimbang sekiranya pemaju perumahan tersebut diberi ‘imuniti’ oleh pihak tertentu untuk memaksa pembeli mengambil pakej yang ditetapkan bagi mengimbangi defisit keseluruhan pembangunan projek mereka.

Tambah beliau, keadaan itu sekiranya berlaku merupakan penganiayaan kepada pembeli terutama golongan berpendapatan rendah apabila pemaju dengan sewenang-wenangnya menetapkan pelbagai syarat yang menekan mereka.

“Keadaan sebegini bukan perkara baharu malah sudah menjadi kebiasaan bagi pemaju swasta “membuli” pembeli daripada kalangan B40 selagi tiada teguran serta tindakan serius sama ada di peringkat Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri dalam menguatkuasakan polisi sedia ada,” katanya. - UTUSAN ONLINE