Pengarah Urusan HADC, Datuk Johannis Al-Arif Ibrahim yakin sasaran yang ditetapkan itu mampu dicapai berdasarkan kepada sambutan menggalakkan diterima syarikat berkenaan menerusi program pendaftaran bagi kumpulan pertama produk Summerfield.

Johannis Al-Arif malah memberitahu HADC telah merancang dan menyediakan pelbagai insentif khas bagi membantu stokis berdaftar untuk terus berjaya.

"Kita ambil keputusan untuk mengadakan program stokis ini kerana kita sedar cara pembelian masa kini telah bertukar dengan lebih ramai pengguna mahu penghantaran terus ke rumah. Ini juga peluang terbaik bagi sesiapa sahaja yang mahu mencari pendapatan tambahan.

"Buat masa sekarang, kita bekalkan pelbagai program kepada stokis terlibat bagi mengembangkan perniagaan mereka termasuk beberapa insentif menarik. Antaranya kita dah tetapkan 10 stokis terbaik akan dapat menggunakan trak ais krim HADC secara percuma bagi satu-satu acara yang ingin disertai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas majlis penyampaian sijil kepada 31 stokis HADC berdaftar di Kelab Golf Tropicana, Petaling Jaya dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE