Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, baginda mahu pengiktirafan turut sama diberikan terhadap Abdullah Deen yang merupakan kalangan jurugambar terawal mengambil gambar Muhammad Syukur Khamis, 14, sehingga mampu meraih pelbagai anugerah fotografi dalam dan luar negara.

"Semasa menyembah menghadap Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah pagi ini, baginda bertitah jurugambar itu mesti diberikan pengiktirafan.

"Tuanku berbangga," katanya kepada hadirin ketika menyampaikan Penghargaan Perdana - Karyawan Lensa Budaya kepada Abdullah Deen dalam majlis Temu Mesra Warga PKR Terengganu di Hotel Permai di sini petang ini.

Turut menerima anugerah ialah Muhammad Syukur yang terkenal dengan jolokan Kampung Boy kerana aura dan karakter yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk anugerah fotografi India 2019.

Muhammad Syukur menerima wang tunai RM1,000 di samping plak.

Dalam majlis sama, Wan Azizah turut menyampaikan penghargaan kepada waris Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd., Mohd. Mustafa di samping dua lagi penyelamat dalam kejadian lemas di muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini baru-baru ini.

Mereka adalah Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, dan Shahrul Mizan Harun, 34. - UTUSAN ONLINE