Baginda bertitah demikian selepas mencemar dulu menziarahi keluarga tersebut apabila kesemua mereka tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian yang berlaku malam kelmarin.

Dalam kunjungan tersebut, Sultan Muhammad V turut menyampaikan sumbangan peribadi dan meluangkan masa bersama keluarga itu serta melawat tapak kebakaran.

Sumbangan tersebut disampaikan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga tersebut apatah lagi Hari Raya Aidiladha akan menjelang tidak lama lagi.

Yang turut hadir mengiringi baginda ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan; Pengarah Jabatan Bomba negeri, Md Salleh Sarbini dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkifli Abdul Rahman.

Sementara itu, Takiyuddin yang ditemui selepas kunjungan Sultan Muhammad V berkata, Sultan Muhammad V turut menitahkan agensi kerajaan negeri yang terlibat supaya menghulurkan bantuan khususnya bagi memastikan mangsa mendapat kediaman baharu.

"Kita mencadangkan mangsa ini yang tidak ada rumah, sebahagiannya penyewa bukan tuan rumah untuk ditempatkan di PPR Sungai Keladi di Kelochor.

"Satu rumah empat keluarga pun ada tetapi anak beranaklah, kita akan uruskan sewa beli dengan harga istimewa, kita akan membantu," katanya.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu menyebabkan 59 orang tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh buah rumah di kampung itu hangus.

Tujuh buah jentera bomba dari lima balai bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan dibantu oleh 31 anggota polis serta bomba sukarela. - UTUSAN ONLINE