Kemasukan stok-stok baharu itu dikatakan sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang dapat gaji pada hujung minggu ini.

Keluhan mereka didengari rakan-rakan peniaga gerai berhampiran yang bersimpati di atas insiden berkenaan.

Menurut seorang peniaga, Nor Faslah zainul Abidin, 27, kebanyakan peniaga menjadi mangsa kebakaran itu tidak sempat menjual stok yang baharu diperoleh daripada pembekal.

“Tidak dapat bayangkan dugaan yang ditimpa mereka kerana jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung mencecah ratusan ribu ringgit.

“Biasa, menjelang hari pekerja dapat gaji, memang peniaga akan tambah stok lebih-lebih lagi bila Hari Raya Aidilfitri hampir tiba,” katanya ketika tinjauan Utusan Online hari ini.

Sebanyak 26 buah gerai di hadapan Wisma Yakin hangus dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Fitria Mahyuddin, 33, memberitahu akibat kejadian kebakaran itu, para peniaga di sini terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan pelanggan.

“Akibat kebakaran malam semalam, pelanggan tidak begitu ramai, malah pada cuti umum pada hari ini pun kunjungan pelanggan tidak seperti hari-hari terakhir Ramadan seperti tahun lepas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE