Pengamal undang-undang, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, hal ini bukan disebabkan oleh tindakan empat profesor perundangan yang dituduh cuba mengelirukan Majlis Raja-Raja dengan membentangkan kertas kerja masing-masing.

“Saya tidak setuju bahawa empat pensyarah itu telah mengelirukan Majli Raja-Raja. Isunya sekarang, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Professor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi gagal meyakinkan Majlis Raja-Raja kerana kedua-dua pihak ini diundang oleh Majlis Raja-Raja untuk bentangkan kertas kerja mengenai Statut Rom.

"Tommy Thomas sendiri bila dijemput ke Majlis Raja-Raja gagal kemukakan hujah balas mengenai perbentangan empat pensyarah itu. Jadinya, ini bukan cerita empat pensyarah ini kelirukan Majlis Raja-Raja, tapi isunya adalah Peguam Negara gagal yakinkan Majlis Raja-Raja dalam isu ini,” katanya dalam Bicara Persada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertajuk Statut Rom: Malaysia ke Arah Mana? di Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut menjadi panel dalam program itu ialah Pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM, Prof. Datin Faridah Jalil; Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin dan

Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi serta moderator oleh pensyarah undang-undang UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal.

Pada 7 April lalu, Asheeq Ali mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lepas.

Asheeq Ali dan lapan rakannya mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui masyarakat selain mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah, kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Rumusan itu dilakukan Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr Shamrahayu Ab. Aziz; serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi. - UTUSAN ONLINE