Beliau berkata kerajaan tidak akan menerima “perkara-perkara pelik” yang bercanggah dengan Malaysia dan hanya “perkara-perkara yang baik” daripada perjanjian antarabangsa itu akan diterima.

“Ada perkara-perkara tertentu yang mereka mahu lakukan di bawah Statut Rom yang kita tidak boleh lakukan di negara ini.

“Sebagai contoh, Statut Rom memberikan kebebasan mutlak kepada semua orang untuk me­lakukan segala macam perkara. Sekarang, sudah ada lelaki berkahwin dengan lelaki, wa­nita berkahwin dengan wanita,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen Sayangi Sawitku di Pulau Carey di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian susulan titah ucapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan baginda semalam bahawa kerajaan melanggar Perlembagaan Persekutuan jika menandatangani Statut Rom ke­rana perjanjian itu menyen­tuh hak dan kuasa raja, hak istimewa orang Melayu dan kesucian agama Islam di negara ini.

Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah perjanjian yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang diperakukan di Rom, Itali pada 17 Julai 1998, dan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2002.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Datuk Seri Ronald Kian­dee kekal sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sehingga calon yang sesuai dikenal pasti.

Belaiu berkata demikian ketika ditanya sama ada Ronald akan digugurkan berikutan anggota-anggota PAC yang lain membantah beliau terus me­nyandang jawatan itu.

“Ini bukan perkara undang-undang, ini adalah janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan. Kita boleh melakukannya pada bila-bila masa, kita akan berpegang kepada janji kita.

“Tidak perlu apabila sesuatu berlaku, anda menggugurkan segala-galanya,” kata beliau.

Mengenai kebimbangan tentang nepotisme melibatkan anak sulungnya Tan Sri Mokhzani dilantik sebagai Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Dr. Mahathir berkata bukan hasrat Mokhzani untuk kembali semula dalam sukan permotoran seperti didakwa sesetengah pihak. – BERNAMA