SDA dalam kenyataan memaklumkan, langkah tersebut sejajar dengan aspirasi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi memperkasakan suara mahasiswa terutamanya dalam usaha meningkatkan kewibawaan institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut SDA, sebagai pemegang taruh terbesar universiti, sememangnya segala keputusan yang ditentukan oleh dewan senat akan mempengaruhi dan memberi kesan langsung kepada mahasiswa.

“SDA menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh beberapa universiti awam bermula dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) pada 26 Mei yang lalu, diikuti dengan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta beberapa lagi institusi pengajian tinggi lain yang sudah mula menyedari kepentingan memiliki sosok pelajar di dalam perbincangan dan penetapan berkenaan.

“Oleh itu, keberadaan wakil mahasiswa sebagai ahli senat dilihat sangat penting bagi menyampaikan cadangan dan saranan mahupun kritikan membina sesuai dengan permintaan semasa mahasiswa,” kata kenyataan itu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE