Malah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya menjangkakan wang royalti tidak akan diperoleh pada tahun ini biarpun saman terhadap Petronas telah dibatalkan.

“Kita sudah selesai dengan Petronas, proses teknikal sahaja. Cuma isu dengan Kerajaan Persekutuan sebab wakilnya meminta satu tarikh untuk perbicaraan. Kita pun hairan juga sebab Kerajaan Perskutuan hanya sebagai pencelah sahaja dan kes ini dengan Petronas dan kita sendiri tidak pernah saman Kerajaan Malaysia.

“Tiba-tiba dia minta tetapkan satu tarikh perbicaraan yang pada kita tidak ada asasnya, saya pun hairan dan mahkamah beri tarikh September, jadi kita kena tunggu. Kalau tengok pada itu, tidak ada peluang untuk dapatkan royalti tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2018 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini wang royalti minyak selepas proses menarik balik saman terhadap Petronas selesai baru-baru ini.

Pada 7 Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti petroleum kepada Kelantan selepas proses penarikan saman oleh kerajaan negeri selesai April lalu.

Royalti minyak itu akan dibayar terus kepada kerajaan negeri namun selagi proses perundangan di mahkamah tidak selesai, Kerajaan Persekutuan tidak boleh membayar royalti minyak itu. - UTUSAN ONLINE