Bekas Penolong Pegawai Pemerintah Medan Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), S. Sivanganam berkata, beliau telah menerima satu panggilan telefon selepas sehari penemuan kem penempatan sementara iaitu pada 20 Januari 2015.

“Dia yang enggan mendedahkan nama sebenar telah memberi banyak info berkenaan sindiket itu antaranya pembabitan orang tempatan dalam menghantar PATI ke tempat lain.

“Selepas itu saya pergi ke Wang Kelian untuk menyiasat dalam membuat pengesahan salah seorang nama disebut yang dikenali Aziz iaitu didakwa menjadi orang tengah sindiket antara Malaysia dan Thailand,” katanya kepada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian di sini hari ini.

Sivanganam menambah, beliau kemudiannya menyerahkan nama dalang dan maklumat hasil sumber itu kepada Ketua Polis Perlis dan Kedah serta Unit Risikan Batalion PGA.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pengerusi RCI, Tan Sri Norian Mai yang merupakan bekas Ketua Polis Negara menegur tindakan saksi keenam RCI itu kerana tidak mengambil maklumat lebih mendalam berhubung identiti sumber itu.

Ujar Norian, Sivanganam selaku pegawai polis yang telah lama berkhidmat, beliau seharusnya mengambil peluang itu untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan maklumat individu terlibat.-UTUSAN ONLINE