Perkara itu didedahkan oleh Kompeni Komandan B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Deputi Superintenden M. Joeking kepada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian di sini hari ini.

Menurut saksi kelima RCI itu, salah seorang daripada 38 warga asing yang ditahan memaklumkan kepada pihaknya bahawa mereka telah memasuki ke negara ini dengan menaiki kapal.

“Dia juga memberitahu telah berjalan kaki sehingga ke dalam hutan dan tiba di satu kawasan hutan yang menjadi kem penempatan.

“PATI juga mendakwa agen terlibat telah minta duit lagi, jika dapat wang seperti dijanjikan, barulah mereka dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya ketika disoal pengawai pengendali RCI, Khairul Anuar Abdul Halim.

Joeking menambah, hanya salah seorang mangsa itu yang merupakan warga Bangladesh boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Katanya lagi, kesemua 38 mangsa itu ditemukan sejurus pihaknya berjaya mengesan kewujudan kem penempatan itu pada 19 Januari 2015.

“Mereka ditemukan dalam keadaan letih dan lapar, pihak polis kemudiannya telah memberikan air dan botol bagi mengalas perut,” katanya.

Pada sesi pendengaran itu, seorang Ahli RCI, Tan Sri Razali Ismail membangkitkan persoalan sama ada operasi polis bagi mengesan kewujudan kem berkenaan didapati gagal.

Walau bagaimanapun, Joeking sebaliknya berpandangan operasi itu berjaya kerana telah menemukan kem penempatan dan semua PATI.

“Kalau tidak menerusi operasi ini, maka tidaklah dapat mengesan kewujudan kem ini. Sebelum itu, kita tidak tahu kewujudan mengenainya,” katanya.

Prosiding RCI hari kedua telah berlangsung di hadapan tujuh panel RCI yang pengerusikan oleh Tun Ariffin Zakaria. - UTUSAN ONLINE