Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada masa ini juga urus setia kerajaan negeri sedang menyemak beberapa fakta lagi berkaitan projek berkenaan sebelum surat itu diserahkan untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Dijangka hari ini dapat dihantar (surat rayuan), beberapa hari lepas urus setia telah memasukkan banyak fakta mengenai projek ini.

“Fakta mengenai projek ini kena beri dengan sepenuhnya di dalam surat ini dengan bahasa yang bersifat rayuan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

PIP merupakan projek mega yang dirancang kerajaan negeri yang melibatkan beberapa komponen pemba­ngunan termasuk pembinaan tiga pulau buatan di selatan perairan negeri ini dan terowong dasar laut.

Projek itu bagaimanapun dibantah pelbagai pihak kerana selain disifatkan terlalu mahal, turut memberi impak negatif kepada penduduk khususnya komuniti nelayan selain risiko kemusnahan besar alam sekitar.

Sebelum ini, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap mendapat pembiayaan penuh daripada Kerajaan Pusat bagi sekurang-kurangnya dua projek keutamaan di bawah PIP iaitu pembinaan transit aliran ringan (LRT) dan projek lebuh raya Pan Island Link.

Kedua-dua projek itu dijangka menelan kos sebanyak RM20 bilion. - UTUSAN ONLINE